SEJARAH SK BANTING SIPITANG

Sejarah persekolahan Banting bermula pada tahun 1956 dengan nama Sekolah Kampung Banting. Pengasas sekolah ini ialah Tn Hj Jarudin Bin Nayan (Allahyarham). Bangunan sekolah ini dibina atas kerjasama orang kampong secara bergotong royong dan Pegawai Daerah Sipitang pada masa itu ialah Allahyarham Dato Hj Mohd Yassin Bin Hj Hashim. Bangunan sekolah hanyalah bangunan sementara yang dibina berukuran 20’X40’ sahaja. Pada peringkat awal persekolahan ini bilangan murid-murid hanyalah seramai 36 orang terdiri daripada 16 murid lelaki dan 10 murid perempuan. Tenaga pengajarnya hanya seorang sahaja, beliau juga merupakan Guru Besar. Pelajaran yang diajar ketika itu ialah Bahasa Melayu, Tulisan Jawi, Ilmu hisab dan Pengetahuan am. Guru Besar pertama sekolah itu ialah En Waidin Bin Abd Rahman yang berasal dari kampong Menumbok, Kuala Penyu. Pada masa ini beliau tidak lagi berkhidmat dalam bidang pendidikan dan beliau telah menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan menetap di Kg Sindumin, Sipitang. Dalam bulan Jun 1958, bilangan murid yang bersekolah pada ketika itu amat merosot, yang ada Cuma 16 orang murid sahaja. Memandangkan keadaan itu, sekolah ini telah ditutup buat beberapa tahun.

Setelah beberapa tahun sekolah ini ditutup, barulah timbul kekesalan dan kesedaran penduduk kampong tentang pentingnya pelajaran kepada anak-anak mereka. Maka pada tahun 1963 terbinalah semula sekolah kampong Banting yang baru beratap dan berdindingkan daun nipah yang diusahakan oleh Orang Tua Hj Jarudin dan anak-anak buahnya. Sekolah pertama yang dibina dahulu sudah lama roboh, kedudukan sekolah baru ini terletak dihujung sekolah lama berhampiran jalan masuk ke kg Banting. Dalam tahun 1963 juga nama sekolah ini diubah kepada N.V.S kampong Banting ( Sekolah Sukarela Rakyat Kg Banting ). Guru Besar ketika itu ialah Tn Hj Dahlan Bin Jaafar ( belum bergelar haji ketika itu sekarang telahpun bersara dari Jabatan Pendidikan ). Pada masa itu Penyelia N.V.S Banting ialah O.T Hj Jarudin dan setelah beberapa tahun lamanya, jawatan itu diserahkan kepada Tn Hj Dahlan sendiri. Dalam tahun itu juga, penggal kedua N.V.S Banting telah roboh akibat ditiup angin kencang  dan buat sementara waktu murid-muridnya dipindahkan belajar ke panggung wayang.

Pada tahun 1965, kerajaan telah membina sekolah separuh kekal, N.V.S Banting yang mengandungi 2 buah bilik dan kemudian ditambah lagi sebilik menjadi 3 buah. Manakala rumah guru pada ketika itu hanya sebuah. Tenaga pengajar ketika itu hanya 3 orang. Setelah beberapa tahun kemudian kerajaan telah membina sebuah lagi bilik darjah dan 2 buah rumah guru. Dalam tahun 1985 memandangkan keadaan murid semakin ramai dan tidak dapat menampung pembelajaran maka Jabatan Pendidikan terpaksa membuat bangunan projek kilat yang mengandungi 3 buah bilik darjah, bilik guru, Pejabat Am dan Pejabat Guru Besar. Rumah guru juga dibina satu bangunan mengandungi 2 unit keluarga (rumah kembar). Pada tahun 1988, sekolah ini mengandungi 6 buah bilik darjah dan sebuah bangunan Pusat Sumber. Tenaga pengajarnya terdiri daripada 8 orang guru termasuk Guru Besar dan juga Guru Agama Islam. Bilangan murid ketika ituhampir 100 orang. Dalam tahun 2000, sekolah ini mendapat satu lagi bangunan projek kilat daripada Jabatan Pendidikan Sabah yang mengandungi 3 bilik darjah dan pada masa ini hanya 2 buah bilik digunakan untuk bilik darjah manakala sebuah bilik lagi digunakan sebagai bili guru, pejabat guru besar dan pejabat am.

Kemudian pada tahun 2001, sekolah ini telah mengandungi 6 buah bilik darjah, sebuah bangunan bilik gerakan (dahulu pusat sumber) satu bilik Pusat Sumber (dahulunya bilik guru) satu bilik kemahiran hidup, satu bilik sains (dahulu bilik darjah) dan satu bilik guru, pejabat guru besar dan guru agama islam dengan jumlah murid seramai 84 orang sahaja. Guru besar pada masa itu ialah Tn Hj Sarudin Bin Hj Omar dan telah bersara pada tahun 2007. Selepas itu Guru Besar SK Banting ialah En Zainal Abu Bakar sehingga sekarang.

Pada hari ini tahun 2016, sekolah Kebangsaan Banting telahpun mempunyai sebuah bangunan prasekolah, bilik Akses yang mempunyai 10 buah komputer bagi memudahkan murid-murid mengakses internet dan bilik komputer VDI yang mempunyai 21 buah komputer. Makmal bergerak (Netbook 1 Malaysia) sebanyak 40 unit juga disediakan bagi memudahkan PnP. Manakala gurunya pula seramai 14 orang dan AKS 3 orang. Jumlah murid ialah seramai 90 orang.